Monday, April 29, 2013

Bodoh pandai


Yang pandai biasanya bodoh
kerana membodohkan mereka yang sedang belajar
sehingga lebih bodoh dari kebodohan dibodohkan

Yang pandai biasanya bodoh
kerana rasa pandai
sehingga bodoh dikata pandai

Yang pandai biasanya bodoh
kerana tidak tahu nipisnya beza antara bodoh dan pandai
jika tiada cerdik

Yang pandai biasanya bodoh
kerana lahirnya sombong
sehingga jadi tuhan dalam semua perkara

Bodoh itu bagus
jika punya sadar
Pandai itu celaka
jika tiada sadar

usaha bertepuk tangan menggendong harta

Monday, April 22, 2013

Takut


Biarkan saja kita     hilang
Lepaskan saja semua     girang
Kalau itu mampu sempurnakanmu
Terus menyempurnakanku
Sambil
Mengemam perit esok
Tanpa sumber bahgiaku

yang terlalu sempurna



Saturday, April 13, 2013

Senyum dari mata


Beri pelangi indah
Dalam senyuman mesra
Kamu dalam khabar
Mengikut angin sampai
Hujung cerita

Biar ku cuba mesra
Dengan watak ketua
Kamu dalam gelisah
Mengikut rentak dunia
Dalam dakapan

Dan sampai akhir semua
Tetap ku rasa cinta
Biar awalnya duka
Dengan kisah yang sama

Ku janji akhir
Engkau bahgia
Dengan suria bersama
Kau sebut jumlahnya
Aku sedia
Kerna setia pungguk
Pada bulannya

Duka


kata yang menghidup airmata bukan lagi kata tinggal,
                      tapi kata yang menggambarkan kesedihan kau kini

benar menyakitkan
kerana senyum ku tanam
tidak tumbuh bersama hatimu
yang bangkit setelah gugur di jalanan.

Friday, April 12, 2013

Ulang


Sekali lagi
bintang itu menarik perhatian
memang cantik seakan bersinar khas 
walau dulu bintang yang wujud
meletus jadi lohong hitam
menarik manis senyum
kitar suka itu berterusan
selagi bintang itu di langit
berulang setiap pandang
Sekali lagi

Punya aku


Duduk
tunduk
esak
esak
esak
buat aku teringin mendekat
perlahan aku ke sana
tap                   sobs
tap                    sobs
tap                      emm
dehem                   ya?
tenung                     maaf


Kenapa kau menangis sayang?
aku lihat kaki masih dua
tangan, telinga, mata juga masih dua
sepasang cukup senikmatnya
aku hairan

Kenapa kau menangis sayang?
apa ingatmu hilang
seperti hewan liar tidak bertuan
atau buat kau lupa
yang matahari bentuknya segitiga?

Kenapa kau menangis sayang?
keluarga masih punya tangan
menadah kau jatuh
mengendong kau lumpuh
juga senyum dalam hari - hari kau

Kenapa kau menangis sayang?
sepertinya penghinaan pada aku
jika tidak mampu membantumu
walau tidak ada kata indah
aku punya senyum
dan redup mata
untuk menikmati keindahan
setiap sisa burukmu seharian

izinkan aku
untuk menghargaimu

Friday, April 5, 2013

Hikayat


Dia tidak akan tahu
tentang rasa yang terbiasa
dari mimpi yang lama pergi
semuanya telah berlalu

Dia tidak akan kenal
segala apa yang ku lupa
dari pikir segala pernah terukir
semua tawa dalam bual

Masih
aku seperti politikus celik
dalam kepuraan terus mengherdik
segala apa dalam cermin sendiri

Thursday, April 4, 2013

Entah Kenapa


Rindu
Yang telah lama
Cuba dipendam
Dalam kebiasaan hidup
Telah berjaya menegur
Kewarasan yang wujud

Ternyata aku manusia biasa
Yang gemar
Mencari luka dalam tawa.

Entah kenapa ya?

Monday, April 1, 2013

Petang itu


Gamelan asyik
Ke kiri ke kanan
Dinikmati aku seperjalanan
Geleng kepala kecuali mata
Sesekali terhantuk sendiri

Gadis itu senyum
Aku senyum kembali

Dia melambai
Aku sahut lambaiannya dengan mesra
Kelihatan semua orang melihatku aneh

Ada pasangan muda bercinta di sana
Berpegang tangan penuh romantis
Menikmati pemandangan indah lautan sekitar

Ada kelompok gadis di situ
Antara yang memandangku aneh
Bersama temannya
Meneguk air kola dengan mabuk
Pakainya memalukan

Akhirnya aku aneh
Dunia memandang aku dalam ribu persoalan
Dan aku memandang mereka dengan juta pertanyaan
Paling ajaib,
Lautan dari batu juga boleh menenggelamkan kita ya?

Sudah pukul tujuh
Sambil pulang menikmati gamelan pinggung 
Yang ditawar senja.