Tuesday, August 30, 2011

Selamat Semua

Dwilusi
Dua cerita bebas
Bersengkangkan takwim si homo
Bersatu dalam lukisan berbeda

Dipohon rahmat dan bahagia dilimpahkan tiada henti untuk kita semua yang tidak pernah kenal erti puas akan mengenal ilmuNya setiap masa.
Lakukan segalanya dengan niat yang tulus untuk memerangkap senyuman dari terlepas ke tangis bengis si syaitan durjana.


Salam aidilfitri dan salam kemerdekaan..:-)

Sunday, August 28, 2011

Merenung camar




Antara lembut dan kasar
antara dua dunia perasaaan sepi
mencari atau menanti
sama carinya
tentang cinta antara kita

ku lihat camar
terbang mencari damai
dilingkari angin dingin tinggi di sana
tak tercapai si tidak bersayap sepertiku
tangganya tidak tercipta untukku

dalam mencari sepi menghiris
dalam diam ku fikir ianya bengis
antara kita berdinding tipis
ku gagahkan untuk mewujud
kebahagiaan kau bersamanya

benar kau pergi!
biar kau terbang membawa diri!
ambil lah kebebasan kau lari dari sepi!
selama ini

ku tatap kau dari balik dinding lutsinar
ku hias sendiri ruang ini merojak sakit sendiri
baru ku tahu kuatnya
halilintar dinama cinta

terima kasih si camar


Saturday, August 27, 2011

Antara Dua Dunia





ku tapakkan kaki ke sana
meniti gerigi besi 
sejuk tak terperi
gelap tak tercari
sunyi berdengus sendiri
mata terbuka tiada

wall wall
wall wall

terbayang akan nukilan itu
apa aku di situ?
tidak langsung ku tahu

aku duduk termenung
termangu memikir 
di mana aku
sehingga aku membanding

aku di sana
terkepung antara noda dan dogma
yang bengis menyinga
antara kuat dan lemah
siapa hebat dia di atas
putarnya mengikut rimba
ihsannya hampir tiada

harta, pangkat dan wanita 
menjadi medium penjunuban iman
oleh syaitan dan nafsu
yang sentiasa memburu
untuk menjatuhkan

duduk, tunduk, merunduk sepi memikirkannya
lebih elok aku disini memegang kaki sendiri
menggigil tenang tanpa duri
yang menusuk setiap kaki melangkah

antara dua
tertutup sepi
atau meredah mati
ku harap ku kuat berjuang memegang prinsip
yang pastinya tidak akan lemah
jika disandar pada mega kukuh tiang asli tiada ciptaan.

di mana aku harus berada?



Wednesday, August 24, 2011

Rahmat dari nikmat



sedang menikmati wangian dibawa hujan
merangkumi kesegaran aromanya jernih
melayang hilang dalam keindahan tiupannya
dalam cinta dariNya untuk semua
aku berkhayal merenung nasib
aku semakin sukar dalam tawa
semakin gelisah dalam tangis
kerana ku tahu cintaku sesat semata
pada yang tidak perlu dan bukan pada yang Maha
aku lupa hakikatnya
aku bogel dari pahala
walau nikmat ada setiap masa

aku terbayang bauan segar si hujan
rintiknya bising tapi menenangkan
airnya jernih tapi menyelerakan
baunya tipis tapi menyegarkan
ku rasa aneh tapi itu hakikat
ku rasa ganjil tapi itu kenyataannya

kenapa ada nikmat sebegitu?
kerana rahmat bukan hanya kata
cuma mestinya kita ini pelupa
kita lupa siapa yang menurunkannya

ya, aku juga lupa.


aku kenal bandar



aku kenal bandar
tempat orang bersuka
tempat orang remaja
bila malam semua duka jadi ceria
pantas, segalanya kelihatan ceria

aku kenal bandar
semuanya ringkas
padat dalam gaya
putih
aku terpana hanya kerana dia

aku kenal bandar
semuanya gelak ketawa
nikmat dunia
aku suka
aku leka

aku kenal bandar
ya, aku kenal

tapi apa itu bandar hakiki?

Lagak



hatinya merah
lagaknya
tapi asal hijau bergetah
bicara soal binasa
usah peduli lainnya

cebih mulut bicara raja
pintal pegang berbisa
bersilang semuanya
entah mana bicara awal
dijunjung putih diselarnya arang
dosanya bukan kepalang
sudahnya

kosong bicara serenek budi
kita tacapkan sekalung ihsan
pada semua tak terlepas satunya
perjuangkan jati
bukan dagangkan hati
dalam ketaksuban kuasa dunia
mati jua akhirnya

siapa?
ketuk dahi bertanya lagi
jangan dicari sekuntum
kalau dahannya dicantas muda


*entry kosong. puihh~ jgn layan entry yang nih.

Tuesday, August 23, 2011

Sepi Akhir



Ku tenung kali dari tepian
ku cipta satu persoalan
dari satu pandangan berpunca dua
hati tak tenteram memikirkannya
lidah tergerak untuk bertanya

dua helai daun membawa unsur sepi
ditanya pada sepinya apa sendiri?
tidak, kami berdua jawab salah satunya
tidak, kami selalu bersama

kenapa runut sepi kau bawa?
walau hidup sentiasa bersama?

kami bersama pada mata
walau bersebelahan segalanya sepi
hilang dalam pekikan si dewa kali
dalam cerita hanyut dewasa

entah ada hujung
entah ke tepian sekerat cuma
hanya air menentu cerita
kami bersebelahan dalam dunia dia
tiada kuasa tiada daya
hanya dekat walau tiada akhir jawabnya

hanyut sepi menyendiri selamanya
kerana akhirnya ku pasti kita berbeza
hakikatnya
aku hanya daun
katanya





Wednesday, August 17, 2011

Penonton





mata tiada
bibir tiada
jemari tiada
pancainderaku buta segala

apa yang tinggal?
hanya sebuah ruang aku melontar kata
mengisahkan aku sebagai pelakonton setia
:)



Tuesday, August 16, 2011

Penulis Buta




Dua jiwa bertemu
bertentang tanpa sua
bersuara dalam sepi
terpaku tunduk terdiam bisu

Antara aku dan kau
kita satu tapi batu
kita bersama tapi saling meraba
di antara kita ada khilafnya

ku cuba ku cuba ku cuba

menulis mendekat mencari
bukan merahmati
kerana aku bukan siapa
hanya penulis duka
meredah lara
dengan kata biasa

khabarnya indah dari rupa
kita punya jasad lain - lain
hati lain - lain
cuma ku pasti jiwa kita dekat
sentiasa

kerana aku
si papa caca kedana merba









Saturday, August 13, 2011

Remaja sanskrit




Di antara muda dan tua
hidupnya kisah si pengumpul cebis citra luka
dalam mengemam kehidupan remaja
mengeksploitasi diri hakis susila
di gedung - gedung pasaraya
dengan goyahnya gemalai kaki melangkah
di taman - taman dataran kota

Tampak indah bulatan kini
tapi hakikatnya pencar
dalam diam luluh terkelar
berbekas kekal merubah akhirnya
di masa tua sempatnya tiada

goyang pasti
gigil mesti
gentar diri
menikmati pencak khilaf syurga dunia
mungkinnya ke kiri atau kanan
penentunya kini
remaja pemuafakah dunia kini

apa pilihan kita?



Layar ke Syurga







Si jenin perlukan perubahan
dalam hidupnya yang statik
menuju kelam luar fitrahnya manusia
kelakuan spastik dalam lembutnya kata
itu yang kita dengar

antara kita satunya jenin
tidak kira siapa
hijrah itu harus ada
cuma nafsu kadangnya melintang
putus perjalanan

usaha, tawakkal dan doa
bahtera, layar dan angin
mahu berubah kan?
berusahalah.




Friday, August 12, 2011

Prestij Nafsu




dia bogel di depanku
tak tega aku melihat sosoknya
ku alih mata ke mantel bumi
hanya ekor mata menikmati semua

dia memegang  tanganku
tak rela aku menghalangnya
aku sentak minda
aku sendal nafsu
cumanya aku diam

dia biarkan aku menyentuh
hanya tanganku tapi bukan hatiku
ini bukan cinta
ini dogma dunia
yang mereka kata

janganlah sampai ku hanyut padanya
janganlah.


Cinta



                                      Menjengkelkan
                     Kadangnya                      Dengan
        Manusia                                                  Dosa
Cinta                                                                       Nafsu

Cinta itu hanya indah jika kesempurnaan dan hak cinta dipenuhi.
Cinta itu milikNya dan siapa kita mahu mencabul cinta?
              Cinta itu aksara bukannya kosa
    Nyah! kalau kau mempermainkannya
    Aku percaya kesucian cinta.


.

Thursday, August 11, 2011

Tepian Beban


Keliru
Aku seperti hilang sesuatu
Aku menoleh ke
KIRI
dan
KANAN
dalam mempelajari hukum alam
hukum abadi
resamnya kukuh
tiada lawan

Keliru
Kerana aku bertitik noda
Dalam kelibat sutera yang ku sangka
tapi sadarku hanya bila matahari menunduk layu


kosong
menandakan kekeliruan

aku sedar kurangku
aku tampung bebannya

Monday, August 8, 2011

Ibadah Akhirat




Rasanya sekejap cuma aku pergi mencari dia
Sudah penat, capek sekali
Ingin saja ku teguk nanah menghilang dahaga
tapi hati bercampur resah tak sudah
apa ini dunia yang kita puja?

Sebentar saja pikirku aku menghampiri hamparan itu
apatah lagi mengalas jasadku
lagi malu aku ingin menceritakan tempoh aku membalut nafsu
cumanya tiada sedar dari dulu
aku hanyut dengan cerita kelam yang pantas meneraju

ku tebar angin sepi
ku singkap pelangi misteri
ku terlelap masih di sini

krakkk!!

pecah terompah kayu itu
perjalanan semakin berliku
menghadap mesin manusia pembantu kononnya
hanya reja - reja impian
yang menapak tanpa jejak
sebenarnya.

apa kau fikir noda itu akan tamat?
berpindah paksi hemisfera celaka ini?
ke mana lagi?

hanya kerajaan abadi bisa menutupnya
dan kita hanyalah pelakonton
menyaksi bogel diri
menghadap hukuman Illahi
gigil rasanya.




Saturday, August 6, 2011

Kecewa

Kering
Keinginan kosa kata
Kepingin berasrama bersama
Di dalam minda

Ringan berat atas
menegak badan di atas hamparan lembut
berkhayal
hanya deru kipas berwajah padaku
Sendiri

Asap menyelubungi
mengundang ajal sepertinya
tapi aku gembira
cuma aku yang benak akalnya
membawa jiwa terbang ke mana - mana
tanpa arah

aku kecewa dengan dia.

Titik

.

Satu titik diukir tegak di tengah.
mata melingkar bertanya 
makna titik bertanda
mungkin apa ya?
hitam kotor
atau ianya
hanyalah
sekadar
sebuah
tanda
Titik
.

Friday, August 5, 2011

Gerimis Semangat

Ku lihat garis gerimis
Turun seakan membawa satu petanda
Tapi tak terbayang
Akan ceritanya

Tik tik tik

bunyi atas khemah - khemah pengap 
menadah gerimis pagi
yang seakan membawa kelam malam
menungku bukan pawang
menungku mencari arti

apa mungkin ada cerah nantinya?
atau sawang kelam itu akan terus ada
menjadi  raja di rimba si bijak bestari.
kononnya
aku bukan hanya si pemerhati bisu

Kutukan

Jus itu ku amati
mengalir lembut dari bibir bengis si malapetaka
kotor, perit ku sangka terus berpaling lalu
tidak terlali tekakku menghadamnya
suasana kelam berlegarnya jerit palsu
aku tunduk memeluk kaki



Tuesday, August 2, 2011

Rahsia Tak Disangka


Ada cerita antara kita
Bertemakan dunia cinta hakiki
Cereka dunia menanti mati
Dalam perjalanan menuju abadi

Enak rasanya jika berkhayal
Fana bingkisanNYA tersergam indah
Gemar daku menghias pikirku
Hanya dengan sebuah potret
Inilah imaginasi sastera

Jauh untuk ku kejar
Kelam mataku
Lalu jatuh ke dalam renungan
Menggulung jasad takut yang amat

Nak ke mana?
Oh, tahu kau takut!
Pertontonkan zikir dunia kau!
Quran itu kau dakap dalam benak akal
Rasanya masa tiada mekar pasti
Setiap sendi akan menderhaka

Tak ku fikir akan nanti
Untuk mengecap wangian Tuhan

V,W,X, rahsia Dia

Ya, hanya Z pasti akhirnya