Friday, April 20, 2012

Diari Abah


Juta jutaan menemani
Dari pagi ke malam
Dari dulu ke hari ini
Tapi nyata tetap suram

Juta jutaan nasib bersama
Dengus dalam satu nada
Dodoi dalam satu rasa
Jika hanya kasih itu berbalik

Kalau hanya kata mereka benar
Aku boleh bahagia sebahagia mereka
Aku boleh ketawa seiring mereka
Kecewanya pasti
Menghulur rindu tak bertepi

Pulanglah anakku
Abah merinduimu.


Tuesday, April 10, 2012

Suara Muda


Mereka menghentak - hentak kaki ke lantai
Menghempas sesuatu di sana
Aku dapat rasakannya
Aku dapat dengar dari jauh
Dari sini, dari darat ke baruh

Suasanya bingit menusuk
Tapi tiada terlihat susuk
Manusia yang menjadi pelaku
Runsing sambil aku menongkat dagu


Telah lama diam
tiba - tiba mengeluh
telah lama diam
tiba - tiba menangis
dan pemimpin jadi kagum
telah senyum dia
sebuah pingat tertusuk di dada                                     

(Ismaily Bungsu, Diam)


Sudah tidak tahan lagi
Darah muda ini bukan lagi mainan
Darah anak ini bukan lagi untuk tatapan
Jiwa muda ini tidak lagi menadah ranjang
Tiada lagi songsang
Ini jalannya
Kata sumpah janji berjasa.

kaki melangkah
dengan yakin.


Friday, April 6, 2012

Sisi


Kau indah seperti mahumu
Aku gelap sejernihku
Kerana aku bayang
Yang terus menemanimu
Tanpa jemu

Ku mahu kau terang sebahagiamu
Kerana itu langitku
Tapi kadang hati mahu kontra
Biar mendung tercipta
Biar hujan menimpa

Kerana mungkin cuma
Bukti wujudnya sadar
Akan pentingnya bayang
Yang selalu gelap tanpa wajah

Selalu mengajuk menurut telunjuk.


Wednesday, April 4, 2012

Sempurna


Dan indah
Segalanya putih bersih
Tanpa ada sedikit cela

Dan aneh
Kenapa segalanya begitu sempurna?

Mungkin ada kisah baliknya
Mungkin ada cacatnya semalam

Tapi aku tetap aku
Membilang resam insan
Mana ada manusia terlepas darinya bukan

Takkan adil bagiku
Jika ia tidak adil bagimu
Takkan ada senyum dariku
Jika tiada senyum untukku
Takkan ada sedih untukku
Jika kesetiaan ada darimu

Cuma aku rela diam menghitung hari
Sampai bila harus menanti?



Sunday, April 1, 2012

Pagi Ini


Gelap lembut sutera
Kicau burung mula rezeki
Asyik aku memerhati
Sekalian alam mula keluar
Penuh senyum
Penuh harapan

Dan gelap itu pemula hari
Dengan malasnya
Dengan beratnya
haikal tiga kerat sempurna
Pastinya sesuatu harus disempurnakan

Dan gelap itu membawa seribu arti.
Sebagai pencorak rezeki.
Selamat pagi!